SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor telah mengambil beberapa inisiatif ekoran isu tular berkenaan ketiadaan bekalan ayam di Selangor.
Isu ketiadaan bekalan ayam di Selangor mendapat perhatian ramai susulan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor (PPANS) pada 20 Mei 2022.
Pihak KPDNHEP Selangor telah menggerakkan pasukan pemeriksaan dan pemantauan melibatkan pegawai dan anggota daripada cawangan-cawangan di Selangor bermula jam 8 malam, 20 Mei 2022 (Jumaat) sehingga jam 5 petang, 21 Mei 2022 (Sabtu).
Pemeriksaan yang dijalankan melibatkan sebanyak 58 buah premis perniagaan ayam termasuk pasaraya dan pasar basah di seluruh negeri Selangor.
Hasil pemeriksaan setakat jam 2 petang, 21 Mei 2022 (Sabtu) mendapati kesemua 58 premis yang diperiksa masih boleh membekal dan menjual ayam kepada orang ramai.
Selain itu, KPDNHEP Selangor merumuskan bahawa isu tular berkenaan ketiadaan ayam di negeri Selangor tidak berlaku.
Hasil penerangan daripada peniaga-peniaga di premis-premis tersebut, penjualan ayam di premis-premis utama berakhir sebelum jam 10 pagi ekoran pembelian panik dan bekalan ayam yang agak berkurang berbanding hari-hari biasa.
SUMBER FOTO: LAMAN FACEBOOK RASMI KPDNHEP SELANGOR